BAHAGIA... Mohd Fairudz bersama isterinya yang kini berusia 28 tahun.
KUALA  LUMPUR: Mereka bukan saja memiliki pakej lengkap sebagai isteri  termasuk wajah persis artis, malah boleh dijadikan teman hidup pada  harga semurah RM14,000.
Itu bukan omong kosong, malah segelintir  jejaka Malaysia beragama Islam menikmati saat manis melayari rumah  tangga dengan wanita Maghribi yang dikatakan memiliki pelbagai kelebihan  berbanding wanita tempatan dan negara jiran seperti Indonesia, Thailand  dan Filipina.
Selain sama agama dan berwajah jelita, wanita dari  benua Afrika Utara itu dikatakan berkulit gebu, subur, belum 'tercemar'  dan akan mengabadikan sepenuhnya jiwa dan raga terhadap lelaki yang  menjadi suaminya.
'Trend' yang semakin hangat diperkatakan itu  didedahkan seorang lelaki yang berpengalaman empat tahun hidup bahagia  beristerikan gadis Maghribi lepasan kolej, malah sudah mempunyai seorang  anak.
Mohd Fairudz Mohd Yusoff, 34, berkata sehingga hari  ini sekurang-kurangnya lapan lelaki di negara ini mengikut jejak  langkahnya dan ia menjadi kenyataan di atas khidmat secara percuma  diberikannya.
Click Here
"Segala-galanya bermula apabila  saya meletakkan paparan tawaran e-books mengenai bagaimana untuk  melancong ke Maghribi dengan kos rendah di beberapa laman web forum dan  pada masa sama saya turut memberitahu bahawa saya mempunyai isteri warga  negara itu.
"Daripada paparan itu, ramai bertanya bagaimana saya  bertemu jodoh dengan gadis Maghribi. Lalu, saya menceritakan pengalaman  saya dan berkongsi maklumat pelbagai keistimewaan gadis Maghribi dari  kawasan pinggir bandar.
"Malah berdasarkan pengalaman, kos untuk  mengahwini mereka tidak semahal mana kerana mata wang kita lebih besar  daripada mata wang mereka, Moroccan Dirham," katanya.
Mohd  Fairudz yang mempunyai pengalaman menetap di Maghribi kira-kira dua  tahun mendedahkan, gadis dari kawasan dikenali dengan nama Agadiran Saf  itu sangat menitikberatkan penjagaan diri dan kecantikan.
"Mereka  mengamalkan mandi hammam iaitu mandi di bilik berwap dan menggunakan  minyak argan yang membantu melambatkan kedutan pada kulit.
"Mereka juga pembersih dan menjaga makan, sebab itu mereka cantik," katanya.
Menurut Mohd Fairudz, gadis berkenaan juga belum 'tercemar' kerana tidak dipengaruhi budaya luar seperti budaya Barat. 
"Tiada  budaya mempunyai kekasih atau keluar 'berdating' kerana mereka dikawal  sepenuhnya ibu bapa dan taat kepada perintah. Jika mahu menyunting  mereka sebagai isteri, jumpa ibu bapa mereka.
"Tak perlu 'dating'  kerana jika ibu bapa setuju, mereka akur. Mereka perlukan seorang  lelaki sebagai suami kerana mereka bukan wanita berkarier dan dijamin  memberi layanan sempurna kepada suami," katanya.
Golongan gadis  terbabit juga biasanya suka menari hanya di kalangan wanita dan mereka  tiada masalah untuk menari di depan suami untuk 'menghangatkan' suasana.
Memandangkan  mereka hidup dalam keadaan sederhana, mereka tidak akan meminta yang  bukan-bukan daripada suami seperti wang yang banyak, emas atau permata.
Mohd  Fairudz berkata, pengalaman dicurahkannya mendapat reaksi luar biasa  dengan ramai memberi reaksi mengadu berdepan pelbagai kesukaran untuk  mengahwini wanita tempatan kerana pelbagai sebab, antaranya perbelanjaan  kahwin semakin mahal, sukar mencari cinta sejati dan berdepan pelbagai  halangan serta kerenah sebelum berkahwin.
"Memikirkan apa  salahnya berbuat perkara baik dan pada masa sama isteri saya mahu  mendapatkan ramai teman sebangsa di negara ini, saya beri panduan dan  menolong memperkenalkan gadis Maghribi yang membabitkan saudara mara dan  rakan isteri saya.
"Ada yang 'sangkut' sehingga bergelar suami isteri," katanya.
Menurut  Mohd Fairudz, masalah bahasa dan makanan mungkin menjadi sedikit  masalah, tetapi gadis Maghribi cepat menyesuaikan diri dan belajar.
"Sebagai  contoh, isteri saya menggunakan bahasa Arab, namun selepas beberapa  bulan di Malaysia dia semakin lancar berbahasa Inggeris dan semakin  memahami bahasa Melayu.
"Begitu juga soal makanan, kalau dah jadi suami isteri, pandailah masing-masing menyesuaikan diri," katanya.
Mohd  Fairudz turut memberitahu, risiko isteri menimbulkan masalah selepas  berkahwin juga rendah kerana mereka berada jauh daripada keluarga.
"Sebelum ini mungkin kita biasa mendengar, orang kita kahwin dengan wanita Indonesia atau Thailand.
"Kerana Malaysia dengan negara berkenaan tidak berapa jauh, timbul masalah seperti keluarga selalu datang. 
"Itu  belum lagi ahli keluarganya yang minta pinjam duit atau menumpang di  rumah kita sebab tiada kerja sehingga menimbulkan masalah.
"Untuk  gadis Maghribi, ia sukar berlaku kerana mereka tidak ada komuniti di  sini dan keluarga berada jauh beribu kilometer. Susah untuk mereka buat  hal, melainkan kita yang buat hal," katanya.