Pas Kedah tuntut penulis minta maaf
Pas Kedah tuntut penulis minta maaf  
Laporan Sinar Harian edisi Utara, 31 Oktober lalu.
 
 
ALOR SETAR - Pas Kedah menuntut penulis buku ‘Kejatuhan Kerajaan Pas Kedah: Inside Story’ oleh penulis bebas, Mohd Sayuti Omar (MSO) tampil memohon maaf kerana ia sarat dengan fitnah.
Setiausahanya, Musoddak Ahmad berkata, penulis juga wajar memohon maaf kepada keluarga bekas Menteri Besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Kedah, memandangkan buku itu memfokuskan kepada pentadbiran Allahyarham.

“Keputusan dibuat dalam mesyuarat Badan Perhubungan Pas Kedah. Ketetapan menolak buku berkenaan disebabkan fakta dan maklumat dipaparkan tidak tepat dan beri gambaran negatif terhadap sejarah Pas Kedah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menggesa penulis menarik buku itu dari pasaran.

“Keputusan ini juga selari dengan hasil wacana dalaman anjuran Pas Kedah, Rabu lalu yang menampilkan Ketua Penerangan Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dengan bekas Exco Pas, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi sebagai ahli panel,” katanya.

Musoddak berkata, pihaknya turut kesal kerana buku itu dicetak dan diedarkan secara meluas dan dikhuatiri bahan fitnah yang terkandung dalam buku itu kelak dijadikan rujukan pihak-pihak tertentu.

“Saya bimbang ia membina persepsi negatif generasi akan datang yang mungkin menjadikan buku itu sebagai kajian berhubung perjalanan sejarah Pas Kedah. Buku berkenaan wajar ditarik balik daripada jualan,” katanya.

Tambahnya, Pas Kedah akan menghantar surat rasmi kepada Mohd Sayuti agar beliau memohon maaf selain mengakui terdapat kesalahan fakta, serta perlu memperbetulkan kesalahan fakta tersebut.

Musoddak berkata, pihaknya dengan kerjasama Lajnah Guaman Pas Kedah kini sedang mengkaji untuk menangani isu penerbitan buku itu dari aspek perundangan.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi pernah menyelar penulis berkenaan kerana didapati memutar belit fakta dan urutan sejarah selain cuba menggambarkan Pas Kedah bawah pimpinan Azizan yang membentuk kerajaan pada penggal lalu bersikap tidak menghormati pihak lain, terutama DAP.

Muhammad Sanusi turut mempertikai tujuan buku itu diterbitkan berikutan terdapat percanggahan maklumat selain hanya merujuk kepada sumber yang boleh diragui kredibilitinya.