Jangan ada 'musang berbulu ayam' dalam PAS | | Print | |
MOHD RASHIDI HASSAN | rashidi@harakah.net.my |
PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mempunyai hala tuju yang sangat jelas, iaitu ia bersama dengan Pakatan Rakyat untuk menumbangkan Umno-Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13, sekali gus menawan Putrajaya. Sebagai sebuah parti yang banyak pengalaman dan tersohor sebagai sebuah organisasi yang berdisiplin, PAS sepanjang 60 tahun penubuhannya, juga tidak sunyi daripada elemen-elemen negatif yang boleh menjejaskan matlamat perjuangannya. Tidak harus dinafikan, setiap parti ada kelemahannya yang tersendiri. Sama ada ia dari kalangan BN atau Pakatan Rakyat. Dalam konteks PAS, ia harus melihat jauh ke hadapan, supaya pasca 60 tahun ke hadapannya, tidak wujud sebarang elemen yang boleh menjejaskan hasratnya menguasai Putrajaya bersama Pakatan Rakyat. Elemen-elemen negatif sebegini, harus diperhati dan diperhalusi. Bukan bertujuan untuk mencari salah sesiapa, bukan juga untuk bersangka buruk dengan sesiapa, tetapi kita harus bertegas dalam mengutamakan kepentingan parti daripada kepentingan individu yang bergelar pemimpin. Untuk itu PAS harus lebih berhati-hati. Jangan sampai akibat kelemahan kepimpinannya, keyakinan rakyat akan terjejas. Sebarang elemen yang tidak baik, harus ditangani sebaiknya. Keyakinan rakyat terhadap PAS, selain daripada kekuatan kepimpinannya, kadang-kadang dibentuk oleh persepsi. Persepsi yang bagaimana rakyat melihat PAS. Jika ada unsur atau elemen yang negatif, maka ia akan mencetuskan persepsi negatif rakyat terhadap kepimpinan dan kepada PAS sendiri. Justeru, pada Sambutan ulangtahun ke-60 PAS yang diadakan di Dewan Milenium, Kepala Batas, Pulau Pinang berlangsung dengan jayanya 1 Oktober lepas, PAS harus kelihatan bersih dan sentiasa bersih, sebagai parti yang bakal menggalas amanah besar rakyat pada PRU ke-13 nanti. Bagi mengingatkan rakyat tentang peranan PAS di persada politik negara selama 60 tahun, aturcara padat diatur penganjur, bermula sejak 30 September sehingga majlis penutupnya pada malam 1 Oktober 2011. Dengan Kongres 60 tahun diadakan pada siang hari, pelbagai pameran, pelancaran dan diskusi serta pengkisahan sejarah diatur oleh penganjur. Pada malam terakhir, seluruh kawasan persekitaran Dewan Milenium penuh sesak dengan pelbagai kenderaan. Khabarnya lebih 20 ribu penyokong PAS membanjiri dewan yang hanya boleh memenuhi sekitar 3 ribu orang sahaja. Apa pun pada pengamatan saya, walaupun sambutan hebat ditunjukkan rakyat, namun jumlah sekitar 20 atau 30 ribu tidak menunjukkan kekuatan sebenar PAS. Kekuatan PAS bukan hanya ditahap itu sahaja. Itu pun yang hadir sewaktu ceramah, sedangkan pada waktu lain hanya sekitar 3 ribu orang sahaja yang memenuhi Dewan Milenium. PAS adalah sebuah parti yang amat besar. Keahliannya mencapai sejuta umat. Kita mungkin tidak memerlukan sejuta umat membanjiri Kepala Batas, cukup sekadar 5 peratus atau 50 ribu ahli dan penyokong hadir sudah memadai. Justeru mengapa kehadiran ahli dan penyokong tidak seramai yang diharapkan? Ada banyak jawapan diberikan. Antaranya tidak penganjur tidak cukup masa untuk mempromosikan majlis, ada juga yang mengatakan iklan-iklan yang berbentuk poster atau kain pemidang tidak banyak diletakkan di seluruh negara, atau pun sekurang-kurangnya di seluruh Pulau Pinang. Saya berniat tidak untuk menyalahkan penganjur. Barangkali kain pemidang atau iklan dalam Harakah tidak banyak. Ianya bukan soal iklan dan promosi, ianya adalah soal kesedaran dan komitmen kita semua, dari kalangan pucuk kepimpinan sehingga ke penyokong di peringkat bawahan. Sewaktu kami duduk di meja khusus yang ditempatkan untuk wartawan, ada wartawan media arus perdana yang datang dari Kuala Lumour, bertanya mengapa di atas pentas utama, AJK PAS Pusat tidak penuh walaupun dewan penuh dengan ahli dan penyokong? Beliau menyebutkan beberapa nama kepada saya, yang saya fikir tidak wajar ditulis dalam ruangan ini. Namun, sekali imbas, ada logiknya soalan beliau, mengapa dalam event yang sebegini penting, tidak semua pemimpin tertinggi PAS yang hadir. Beliau mengajukan soalan lagi,"Saya selalu buat liputan ke mesyuarat PAS Pusat, saya lihat ******* dan ******** selalu tidak hadir, mengapa ya? "Adakah wujud masalah dalam PAS sehingga orang-orang ini tidak hadir mesyuarat dan event besar sebegini?" soalnya mengorek rahsia. "Ya betul, kita orang pun selalu tunggu mahu minta statement dia..selalu dia tak ada," sampuk seorang wartawan media berbahasa Cina. Mungkin kita boleh beri alasan simplistik. Pemimpin itu tidak hadir kerana sibuk dengan urusan. Habis, pemimpin lain yang lebih besar tidak banyak urusan. Jika Mursyidul Am dan Presiden PAS, orang yang paling sibuk dan padat jadual mereka boleh hadir, mengapa orang lain tidak boleh atur jadual mereka untuk menghadiri mesyuarat parti atau Kongres 60 tahun yang penting ini? Dalam perbualan tersebut, banyak 'soalan-soalan maut' yang ditanya, tetapi tidak dijawab secara verbatim. Semua persoalan yang diajukan menunjukkan bahawa PAS dan pemimpin-pemimpinnya diperhatikan. Kelibat mereka senantiasa menimbulkan pelbagai persepsi. Malah sewaktu berada di Kongres, ada kalangan hadirin mendapat SMS mengatakan pada waktu yang sama ada kalangan pemimpin PAS yang sembang santai dengan pemimpin Umno di sebuah restoran Arab di Kuala Lumpur. Kita boleh cipta pelbagai alasan, barangkali si fulan itu sibuk dengan program potfolio atau lujnah yang dipegangnya. Justeru ditanya balik, tidakkah boleh jenguk sekejap ke Kepala Batas? Sesibuk Mursyidul Am dan Presiden PAS, hingga penuh masanya bersama rakyat siang dan malam, pun sempat hadir, tak kan anda pemimpin bawahan, lebih sibuk daripada mereka. Okay lah, kita bagi excuse, kononnya acara yang membabitkan majlis dengan pemimpin Umno sudah diatur lama, maka ianya tidak dapat dielakkan. Ditanya kembali, mengapa tiap-tiap bulan anda tidak hadir mesyuarat? Mengapa banyak event besar PAS, tidak juga anda hadiri? Juga harus ditanya, misalnya, mengapa anda sering bertemu, minum kopi, bersantai dengan pemimpin Umno, menteri dan sebagainya? Lebih kerap bertemu mereka daripada menemui atau bergaul dengan pemimpin ada ahli PAS? Dalam dunia tanpa sempadan ini bagaimana kita hendak nafi. Sekali dua boleh kita kata orang fitnah atau sebar SMS palsu. Tapi kalau dah masuk berpuluh kali, bagaimana? Ini yang bahayanya. Ini yang harus dielakkan oleh PAS, selepas 60 tahun ia wujud dalam negara. Ia harus mempunyai pemimpin yang bersih dan kelihatan bersih. Persepsi negatif sebegini boleh menjejaskan PAS dalam jangka panjang jika tidak ditangani dengan baik. Saya tidak berniat hendak memburuk-burukkan sesiapa atau mencetuskan isu dengan mengandaikan sesuatu berdasarkan tohmahan. Anggaplah tulisan ini sebagai muhasabah supaya elemen picisan yang menjejaskan PAS yang timbul daripada orang seperti Dato' Mohd Asri Muda, Ustaz Mohd Nakhaie Ahmad dan Abdul Malek Hussin tidak berulang lagi. Mereka ini keluar daripada PAS dengan cara yang kotor, walaupun mereka tidak menjejaskan PAS, namun mereka adalah termasuk di kalangan pencatat sejarah buruk 60 tahun PAS. Jangan sesekali PAS benarkan sejarah ini berulang. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan