Ahad, 28 September 2014

Hangpa kena tunggu NIK AZIZ mati dulu jika nak gabung PAS + UMNO

Jangan cakap soal gabung PAS - Umno selagi Nik Aziz ada, kata penganalisis
Oleh Zulkifli Sulong, Pengarang Analisis dan Rencana
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak akan bersetuju dengan penggabungan PAS dan Umno. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 September, 2014.
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak akan bersetuju dengan penggabungan PAS dan Umno. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 September, 2014.

Ketika isu penggabungan Umno dan PAS hangat dibincangkan semula ekoran krisis di Selangor, seorang penganalisis politik mencadangkan lebih baik ia tidak dibincangkan kerana ia termasuk dalam perkara mustahil terutama selagi Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat masih ada.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Dr Ahmad Sunawari Long (gambar bawah) berkata, lebih baik isu penggabungan ini tidak dibincangkan kerana ia perkara mustahil terutama kepada Nik Aziz.

Beliau berkata demikian dalam satu perbincangan melalui Facebook yang dianjurkan seorang pengkaji politik Malaysia Kelantan, Dr Mustapha Ahmad.

Mustapha meminta rakan-rakannya mengulas secara ilmiah persoalan "Perlukah Umno dan PAS bekerjasama membentuk kerajaan perpaduan (UG) tanpa merujuk kepada sejarah lampau?" melalui akaun Facebooknya.

Turut menyertai perbincangan itu adalah penganalisis politik termasuk pensyarah, ahli politik veteran dan juga mereka yang masih aktif dalam politik.

Persoalan ini dibangkitkan ketika sesetengah pemimpin PAS termasuk presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak berpuas hati dengan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat (PR).

Ia semakin memuncak apabila kouta exco PAS di Selangor dikurangkan daripada empat kepada tiga saja selepas Selangor mendapat menteri besar baru iaitu Mohamed Azmin Ali beberapa hari lepas.

Usaha sesetengah pihak untuk bergabung dengan Umno ini melahirkan satu NGO baru, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang melobi agar PAS terus kekal dan diperkasakan menerusi PR.

"Kalau kita ikhlas ingin melihat perpaduan Melayu-Islam, maka Umno dan PAS perlu bergabung. Tetapi jika penggabungan berlaku, maka tiada manis lagi dalam alam politik Melayu Malaysia," kata Sunawari dalam ulasannya.

Katanya, dalam PAS, yang selalu menolak dan meletakkan pelbagai syarat untuk tidak bergabung adalah Nik Aziz.

Sebelum ini, media pernah memetik kenyataan Nik Aziz beliau akan meludah muka mana-mana pihak khasnya pemimpin PAS yang mahu bergabung dengan Umno.

Ia dibuat berdasarkan pengalaman beliau dalam PAS ketika Umno menendang parti Islam itu keluar daripada gabungan Barisan Nasional (BN).

Sunawari, pensyarah Jabatan Teologi dan Falsafah membariskan 10 isu yang perlu diberikan perhatian dalam membincangkan isu penggabungan ini.

Antaranya siapa tidak mahu bergabung, siapa mahu bergabung, apa masalah kalau tidak bergabung, apa untungnya kalau bergabung dan ada atau tidak nas Al_Quran dan Sunnah yang memohon PAS dan Umno bergabung.

Selain itu, beliau juga menyoal ada masalahkah jika Umno dan PAS bersendirian dalam pentas politik Malaysia?

Persoalan penting juga dibangkitkan ialah adakah Cina dan India rasa terancam jika gabungan jadi realiti.

Beliau juga bertanya, buat masa ini apakah halangan utama untuk bergabung: sikap atau cita-cita?

Seterusnya beliau bertanya, bilakah kemungkinan PAS dan Umno akan bergabung, adakah "selepas kematian Pok Nik Aziz?".

Sunawari berkata, buat masa ini PAS tidak berapa berminat untuk bergabung kerana parti Islam itu lebih senang dengan PKR dan DAP berbanding dengan Umno.

Veteran Umno, Datuk Rozali Isohak sangat gembira kalau PAS dan Umno boleh bergabung.

Bekas Timbalan Menteri Besar II Kelantan di bawah pentadbiran PAS dan Semangat 46 itu berkata, Umno dan PAS wajib berkerjasama atas dasar tuntutan Islam.

"Orang Melayu Islam akan lebih dihormati jika ada kerjasama dan Islam akan dapat diletakkan di puncaknya," kata Rozali.

Beliau berkata, jika bergabung kuasa mengundi orang Melayu akan melebih dua pertiga dan membolehkan perlembagaan dipinda.

"Buat seketika orang Melayu baik dalam Umno atau PAS kena lupa perselisihan mereka dan kembali ke meja perundingan. Fikirlah masa depan ugama dan bangsa masa kuasa masih ada," katanya dalam perbincangan itu.

Namun hujah itu disangkal veteran PAS, Hashim Omar.

Hashim berkata, dalam era kepimpinan ulama di bawah Nik Aziz, PAS tidak pernah terfikir hendak membentuk UG dengan Umno.

Katanya, sejarah kekuatan PAS ialah bermula dengan CCC (Chinese Consultative Council), kemudian dengan Semangat 46 (serpihan Umno) sehingga dapat kerajaan Kelantan.

Selepas itu, katanya, berlaku sekali lagi serpihan dalam Umno maka bersatu pula dengan parti Keadilan dan ditambah pula dengan DAP, sahingga PR dapat menguasai Kelantan, Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor.

"PAS Kelantan jangan dok fikir nak berUG dengan Umno. Umno dah terok dah, Umno dah mabok kangkong nak rebah bila-bila masa, jangan duk tinggal kawan satelah kita berikat janji," kata Hashim, bekas Adun PAS itu.

Beliau berkata, PAS jangan sesekali syok sendiri dan merasa kuat dan Umno pula ikhlas mahukan mereka.

"Kalau dia tak berasa hendak jatuh, dia tak tergila-gila nak kat kita," tulis Hashim dalam perbincangan itu.

Ketika ditanya seorang peserta perbincangan, apakah benar daripada fakta sejarahnya Umno yang menendang PAS keluar BN, Mustapha sendiri mengesahkan fakta itu.

"Penyingkiran PAS daripada BN dibuat secara amat berseni. Kajian PhD sejarah saya mengesahkan perkara itu," katanya yang menyiapkan kajian tesis PhD mengenai politik Kelantan.

BN buat pertama kalinya hilang majoriti 2/3 dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 dan diulangi lagi dalam PRU13. – 28 September, 2014.

Tiada ulasan: