Transformasi RM1.392 trilion
|
|
KUALA LUMPUR 25 Okt. – Malaysia memerlukan pembiayaan berjumlah RM1.392 trilion bagi menjayakan program transformasi ekonomi untuk dekad akan datang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, sebahagian daripada pembiayaan itu akan ditampung melalui penerbitan Sukuk, memandangkan kewangan Islam adalah pilihan pembiayaan yang layak dan kompetitif untuk menampung pertumbuhan ekonomi di Asia.
Selain itu katanya, kos pembiayaan tersebut juga akan ditampung oleh sektor swasta, sektor awam dan syarikat milik kerajaan (GLC) dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.
"Dana ini akan digunakan untuk menjayakan pelbagai projek yang sudah dirangka, dari rangkaian kereta api massa hinggalah kepada penggunaan tenaga nuklear pada masa hadapan.
"Ini kerana aspirasi kita untuk muncul sebagai negara berpendapatan tinggi tidak boleh dilakukan secara berasingan dan adalah penting pertumbuhan serta pembangunan dilaksanakan secara inklusif dan berterusan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan